mutakhir

Penyolek tengkolok

Oleh myMetro

Alor Setar: Tengkolok atau lebih dikenali destar adalah pakaian tradisi masyarakat Melayu yang melambangkan ketokohan pembesar dan raja Melayu sejak dahulu kala.

Ia juga lambang kepada hierarki masyarakat ketika itu membezakan antara rakyat biasa dan pembesar hingga penutup kepala itu diangkat sebagai pakaian tradisi orang Melayu.

Justeru, tidak hairanlah jika pelengkap pakaian tradisi ini masih dihargai oleh generasi kini hingga membuatkan ada segelintir masyarakat bersungguh-sungguh menghidupkan kembali aksesori kepala tradisional itu untuk menjadi tatapan generasi pada hari ini.

Berasal dari Kampung Peremba, di sini, Mohd Yatim Mustaffa, 40, antara ‘penyolek’ tengkolok yang aktif mereka bentuk tengkolok tradisi dan moden sesuai dengan
si pemakainya.

Menceritakan penglibatan beliau di dalam teknik pembuatan tengkolok atau tanjak ini, Mohd Yatim berkata, minatnya timbul sejak berusia 20-an lagi selepas beberapa kali menyertai persembahan seni silat di rumah kenduri serta sering mengikuti kumpulan pergendangan di negeri ini.

“Dulu saya main silat di rumah kenduri dan dari situ saya tertarik dengan keunikan tengkolok ini kerana ia bukan sahaja untuk menutup kepala tetapi melambangkan sifat kepahlawanan dan ketokohan seseorang.

“Kalau kita tengok orang yang memakainya mudah sahaja, tetapi rupa-rupanya hendak mengikat tengkolok itu memerlukan seni dan kreatif jika tidak ada teknik, tidak akan menjadi,” katanya ketika ditemui.

Minatnya yang membuak-buak menyebabkan Mohd Yatim seorang yang berpengalaman selama 26 tahun menyolek tengkolok membeli tengkolok yang sudah siap jenis Dendam Tak Sudah pada harga RM40 yang kemudian dileraikan sebelum melipat semula untuk membentuk tengkolok.

“Pada mulanya saya rasa putus asa, tetapi selepas beberapa kali cuba melerai dan mengikat kembali ikatan, akhirnya tengkolok jenis itu berjaya diikat seperti sedia kala.

“Teknik ikatan tengkolok kemudian didalami lagi melalui pembacaan buku. Dari buku itu saya belajar sehingga berjaya membuat tengkolok sendiri yang diilhamkan daripada haiwan dan tumbuhan hasil pemerhatian sendiri.

“Selain itu, saya juga pernah menyertai kursus berkaitan ikatan tengkolok di Taman Budaya, Pumpong.

“Saya juga meminati filem
Melayu klasik yang menampilkan pemakaian tengkolok dan dari
situ saya cuba mengikat dan menghasilkan tengkolok berdasarkan watak seseorang,” katanya yang turut mempelajari dari seorang pembuat tengkolok yang terkenal dikenali sebagai
Pak Mus.

Isterinya, Mariah Shahban, 36, yang mahir dalam bidang jahitan turut membantu beliau ketika banyak menerima tempahan dari pihak istana, butik-butik pengantin dan orang perseorangan yang meminati tengkolok.

Katanya, permintaan terhadap tengkolok boleh mencecah sehingga 500 tempahan sewaktu musim cuti sekolah.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat dua jenis pemakaian tengkolok iaitu pemakaian tengkolok tradisi yang dikaitkan dengan majlis-majlis diraja, dengan bentuk yang berlainan mengikut negeri, selain tengkolok untuk adat istiadat dan perkahwinan Melayu serta seni silat.

Sehingga kini, sebut sahaja Mohd Yatim, ramai yang mengenalinya terutama individu dalam kalangan penggiat seni dan pihak protokol istana kerana kepakarannya yang luar biasa
itu.

Kini, Mohd Yatim bukan sahaja membuat tengkolok mengikut
tradisi tetapi turut menghasilkan tengkolok yang diilhamkan
daripada pelbagai unsur flora
dan fauna mengikut versi klasik.

“Saya harap seni ikatan tengkolok ini tidak akan luput ditelan zaman dan akan meneruskan legasi ikatan tengkolok kepada generasi akan datang,”katanya. - BERNAMA

Disiarkan pada: May 12, 2017 @ 5:36am
d