mutakhir

Bantu kos perubatan

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kajang: Bagi membantu pesakit asnaf miskin yang kurang berkemampuan dalam membiaya kos perubatan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), prihatin dengan menyumbang RM50,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) di Hospital Kajang, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof berkata, inisiatif program kasih ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat untuk memupuk nilai murni dan meraikan ukhuwah di antara PKNS, badan kerajaan dan masyarakat secara umumnya.

“Diharapkan sumbangan yang diberikan dapat digunakan bagi memenuhi keperluan pihak hospital untuk membantu pesakit Islam yang memerlukan.

“Melalui bantuan wang zakat ini juga, diharap dapat membantu meringankan beban mereka yang tidak mampu menanggung pembayaran bil hospital, alat sokongan perubatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di program sumbangan kepada TKPM Hospital Kajang, semalam.

Katanya, menerusi program ini, PKNS dapat berkongsi keuntungan bersama masyarakat menerusi pengagihan semula wang zakat kepada institusi perubatan di negeri Selangor.

“Pada tahun ini saja, PKNS akan mengagihkan wang zakat berjumlah RM1.8 juta bagi program CSR untuk asnaf fakir dan miskin, muallaf, fisabilillah dan gharimin.

“Kini, jawatankuasa pengurusan wang zakat dibentuk untuk memastikan pengagihan wang zakat dibuat secara teratur mengikut lunas hukum syarak yang ditetapkan,” kata Noraida.

Sementara itu, Pengarah Hospital Kajang, Dr Md Fikri Abu Bakar berkata, bantuan yang diberikan ini secara langsung dapat mengurangkan tekanan yang dialami oleh pesakit untuk membiayai kos perubatan.

“Dengan bantuan yang diberikan ianya dapat meringankan beban pesakit yang terpaksa berhutang serta kekurangan wang untuk membiayai kos perubatan mereka,” katanya.

Majlis turut dimeriahkan dengan kedatangan istimewa daripada pemain PKNS FC, Safee Sali dan beberapa pemain untuk memberi keceriaan dan sokongan moral kepada pesakit di hospital itu.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 4:31am
d