mutakhir

Selagi aku terdaya

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Bukit Mertajam: Kasih sayang dan tanggungjawab seorang lelaki terhadap ibu dan abang lelakinya yang bergelar orang kurang upaya (OKU) tidak pernah luntur sama sekali walaupun sudah berumah tangga dan mempunyai komitmen terhadap keluarga sendiri.

Biarpun ibunya, Che Puan Drani uzur pada usia 80 tahun manakala abangnya, Abdul Aziz Hasan, 54, menghadapi masalah mental sejak 31 tahun lalu dan lumpuh separuh badan, anak ketiga daripada tujuh beradik itu tidak jemu untuk menguruskan kebajikan dua insan disayanginya itu.

Rosidi Hasan, 52, berkata, dia tidak tergamak membiarkan ibunya bersendirian menguruskan abangnya yang mengalami masalah mental dan lumpuh separuh badan di rumah peninggalan arwah bapa di Kuala Juru itu.

“Sebelum ini, Abdul Aziz pernah berkhidmat sebagai anggota tentera di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sejak 9 Februari 1981 namun diberhentikan pada 28 Februari 1986 atas sebab menghidap masalah mental.

“Selain sering menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak beberapa tahun lalu dan pernah jatuh tergelincir di dalam rumah, abang saya pernah koma selama dua minggu mengakibatkan anggota badannya terus menjadi lemah,” katanya.

Rosidi berkata, kesan kejadian menimpa ke atas abangnya membuatkan isteri serta anak tunggalnya berpisah daripadanya, sekali gus menghilang tanpa berita sejak 26 tahun lalu.

Beliau berkata, sejak itu, setiap pagi dia menyediakan semua keperluan termasukmakan minum buat ibunya selain menguruskan abangnya iaitu menukar lampin dan memandikannya.

Dia yang menghidap kencing manis dan kebas di kaki sering membataskan dirinya setiap kali cuba mengangkat abangnya ke kerusi roda untuk dimandikan.

“Pencen ilat RM227 sebulan diterima abang tidak mencukupi untuk makanan seperti bekalan susu dan oat serta lampin pakai buang.

“Abang saya hanya terlantar di atas tilam dan jika ada sesiapa sudi menyumbangkan katil boleh laras, pasti memudahkan pergerakan dan memberikan keselesaan kepadanya,” katanya.

Rosidi berkata, permohonan bantuan bulanan Zakat Pulau Pinang (ZPP) masih dalam proses, sekiranya berjaya, meringankan beban kewangan ditanggung berikutan pada masa ini hanya menerima bantuan barangan dapur setiap bulan daripada Persatuan Daamyiaa’ Insaniah Pulau Pinang sejak Oktober tahun lalu.

Sesiapa yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) (07100-29-89225412-0) atas nama Abdul Aziz Hasan atau menghubunginya di talian 014-2583315.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 5:19am
d