mutakhir

Anak baling tukul besi kepada ayah dijel 180 hari

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Abnor Hamizam Abd Manap

Bahau: “Saya cuma minta RM10,” kata Mohd Azuan Mohamad, 31, kepada Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas pertuduhan mengugut dan membaling tukul besi kepada bapanya, Rabu lalu.

Mohd Azuan dijatuhi hukuman penjara 180 hari selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengugut dan membaling tukul besi sehingga menimbulkan rasa takut kepada Mohamad Markiyo, 61, di rumahnya di Felda Palong 10, di sini, jam 7 malam, 10 Mei lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga penagih dadah meminta RM50 untuk membeli dadah, namun bapanya tidak memberi wang yang diminta lalu dia membaling tukul besi, selain mengugut mahu membunuh bapanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Harian Metro semalam melaporkan, anak biadab dan kurang ajar apabila sanggup membaling tukul besi ke arah bapanya selepas permintaannya mendapatkan wang tidak ditunaikan.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 5:25am
d