mutakhir

Mana mahu lari?

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Polis nekad mengejar sekumpulan penjenayah sejauh hampir 12 kilometer sebelum memberkas seorang daripada tiga ahli geng curi kenderaan.

Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, suspek yang menaiki Proton Wira itu melarikan diri ketika pemeriksaan anggota polis di kawasan Taman Koperasi Polis Fasa 1, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian berlaku ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Setapak melihat kereta dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis cuba menahan kereta suspek namun pemandunya memecut ke arah Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang (DUKE).

“Kenderaan suspek bagaimanapun terbabas di bahu jalan di AU3, Keramat sebelum melarikan diri ke arah semak. Anggota kami mengejar suspek sebelum memberkas seorang daripada mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, suspek yang ditahan pemandu kenderaan manakala dua lagi penumpang meloloskan diri.

“Pemeriksaan mendapati suspek yang ditahan berusia 28 tahun itu mempunyai 12 rekod jenayah dan semakan mendapati kenderaan yang digunakan didapati hilang di Wangsa Maju, Rabu lalu.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan menemui parang dan sbesi kuku kambing disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri manakala dua lagi suspek masih diburu.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 5:33am
d