mutakhir

Semua layak ke final GGV

Oleh Amirul Haswendy Ashari

KESEMUA peserta Gema Gegar Vaganza (GGV) diumumkan mara ke konsert peringkat akhir GGV yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada konsert bertemakan Gema Berganda malam ini, Mirwana yang menyanyikan lagu The Climb (nyanyian asal Miley Cyrus) dan Satu Qiblat Yang Sama (kumpulan Rabbani) mendapat markah tertinggi daripada juri profesional.

GGV menampilkan Farihin Abdul Fattah dan selebriti popular Indonesia, Oki Setiana Dewi sebagai juri tetap, manakala penyanyi, Datuk Khatijah Ibrahim sebagai juri jemputan.

Kesemua peserta bertanding 100 peratus diadili menerusi pemarkahan daripada barisan juri.

Dalam pada itu, Azmi Caliph Buskers dinobatkan pemenang Anugerah Gema Terindah: Gema Mantap menerusi persembahan menarik melalui lagu Bila Tiba nyanyian asal kumpulan Ungu dan lagu Dahsyat oleh Mojo.

Selain Azmi dan Mirwana, peserta lain yang meneruskan perjuangan untuk konsert akhir pada Ahad, 21 Mei depan ialah Hafiz Hamidun, Hijjaz, Saujana dan UNIC.

Juara GGV akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, Naib Juara RM30,000, tempat ke-tiga RM20,000 dan ke-empat pula RM10,000.

Gema Gegar Vaganza 2017 dihoskan oleh Achey (Bochey), Siti Nordiana dan Fikri Ibrahim (Lawak Solo) disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) setiap Sabtu jam 9.00 malam.

Disiarkan pada: May 13, 2017 @ 11:58pm
d