mutakhir

Empat dalang curi motosikal ditahan

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Sekumpulan lelaki yang mendalangi kegiatan curi motosikal sebelum menjualnya kepada pekerja ladang sawit pada harga murah ditahan polis di kedai minuman di Jalan Tudan, di sini, jam 7.30 malam kelmarin.

Keempat-empat suspek dengan tiga daripadanya warga Indonesia berusia 25 sehingga 45 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Menurut sumber, pemeriksaan menemui Perodua Kancil yang digunakan kumpulan terbabit ketika mencuri motosikal yang diparkir berhampiran kedai itu.

“Polis menemui pelbagai peralatan curi motosikal dalam kereta berkenaan seperti pemutar skru. Suspek melakukannya kerana mendapat permintaan tinggi daripada pekerja ladang,” katanya, semalam.

Keempat-empat suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 2:58am
d