mutakhir

Ditahan beri ceramah tanpa tauliah

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menahan penceramah di surau Seksyen 8 di Shah Alam, 9.15 malam tadi kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, penahanan yang dilakukan Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS itu dijalankan mengikut Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor Tahun 2003 Pindaan 2015.

"Penceramah itu dipercayai mengajar agama Islam atau mengajar apa-apa mengenai Islam tanpa tauliah Majlis Agama Islam Selangor.

"Berikutan itu, pengerusi, setiausaha serta beberapa ahli jawatankuasa surau diarahkan hadir ke Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS mengikut Seksyen 58, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor dan jika gagal hadir, satu waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka," katanya.

Haris berkata, JAIS mengingatkan jawatankuasa masjid dan surau mematuhi arahan serta garis panduan tadbir urus masjid yang dikeluarkan untuk tidak menjemput penceramah yang tidak mempunyai tauliah bagi memberikan ceramah.

Menurutnya, JAIS akan mengambil tindakan tegas supaya jawatankuasa surau itu dapat mematuhi peraturan ditetapkan.

"Umat Islam disaran menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang berkaitan pengurusan masjid dan surau bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian jemaah," katanya.

Ketika ditahan, lelaki berusia 42 tahun itu yang berasal dari Pantai Timur sedang memberi ceramah kepada lebih 30 jemaah surau berkenaan.

FOTO ihsan JAIS

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 8:51am
d