mutakhir

Didakwa di Kota Bharu pula

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SUAMI isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap lapan pertuduhan memperdagangkan lapan remaja untuk tujuan eksploitasi, Mac lalu.

Tertuduh, Muslim Ab Karim, 56, dan isterinya Zaleha Mohamad, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memperdagangkan lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun untuk tujuan eksploitasi di hadapan bank di Jalan Mahmood dan Taman SBJ, Pachor antara 11.35 malam, 13 Mac 2017 hingga 12.25 tengah malam pada 14 Mac 2017.

Kesemua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas.

Mahkamah menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Kuantan dan Raub terhadap kesalahan sama.

Keterangan gambar

TERTUDUH mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan memperdagangkan lapan remaja berusia 13 hingga 16tahun untuk tujuan eksploitasi, Mac lalu. Gambar Zaman Huri Isa

Tamat

Disiarkan pada: May 14, 2017 @ 1:48pm
d