mutakhir

Sebar informasi HIV

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terutama belia mengenai HIV dan AIDS, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menganjurkan program ‘Fun Explorace’ di Laman Budaya, Tasik Shah Alam di sini, kelmarin.

Objektif utama program anjuran bersama Persatuan Perkhidmatan Sokongan AIDS Kuala Lumpur (KLASS) itu antaranya memberi informasi mengenai penyakit berkenaan yang lebih banyak menular menerusi hubungan seks berbanding suntikan jarum.

Pegawai PKD Bahagian AIDS Petaling Dr M Lalitha Malar berkata, pihaknya amat komited dan sememangnya mensasarkan golongan muda untuk sentiasa peka dengan penyakit berbahaya itu.

“Kita melaksanakan program seumpama ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan mempunyai pengetahuan berkenaan.

“Pada awalnya kita mensasarkan golongan belia supaya mereka yang pernah melakukan hubungan seks untuk melakukan saringan di klinik kesihatan berdekatan,” katanya ketika ditemui selepas program itu.

Turut hadir, Pengurus Besar KLASS Martin Choo dan puluhan peserta merangkumi pelbagai lapisan usia.

Menurut Lalitha, golongan itu tidak perlu takut untuk menjalani pemeriksaan kerana semua maklumat akan dirahsiakan.

“Kita tidak akan mengambil maklumat peribadi mereka yang melakukan saringan menerusi bantuan badan bukan kerajaan (NGO) seperti KLASS,” katanya.

Sementara itu, Choo berkata, pihaknya aktif mencari golongan berisiko untuk hadir membuat saringan tanpa mendedahkan maklumat mereka.

“Jika kita mengharapkan mereka hadir secara sukarela, ia sukar dan program ini secara tidak langsung dapat menyebarkan maklumat berkenaan,” katanya.

Bagi peserta yang juga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), Farhain Japar, 24, dia sebelum ini hanya mengetahui HIV dan AIDS secara umum tanpa menyedari penyakit itu boleh dikawal melalui pengambilan ubat.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 10:46am
d