mutakhir

100 belia uji kepantasan

Oleh Nor Shayaumil Qhairil Eemann

Putrajaya: Seramai 100 peserta memeriahkan perlumbaan kereta lumba Tamiya Mini 4WD yang dianjurkan sempena hari kedua, sambutan Hari Belia Negara 2017 yang berlangsung di Persiaran Perdana, Presint 3, di sini semalam.

Penyelaras program Mohd Shahmi Lubis, 23, berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada peserta namun terpaksa mengehadkan kepada 100 peserta sahaja memandangkan masa terhad.

Beliau berkata, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu semi attack dan time attack. Seramai 32 peserta terbaik akan ke peringkat akhir sebelum pemenang ditentukan dengan catatan masa yang paling pantas.

“Perlumbaan memerlukan peserta lebih teliti dan kreatif bagi memastikan jentera lumba mereka dapat memecut dengan laju di atas trek yang disediakan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, hobi kereta lumba Tamiya Mini 4WD mula diterima rakyat Malaysia sekitar 1997 namun, dilupakan buat seketika sebelum dipelopori semula oleh beberapa kumpulan belia pada hari ini.

Mohd Shahmi berkata, modal menghasilkan kereta Tamiya mini membabitkan kos sekitar RM500.

Selain perlumbaan itu, hari kedua penganjuran Hari Belia Negara 2017 turut dimeriahkan dengan beberapa program termasuk Malam Untuk Rohingya; Fit Masjid; pertandingan futsal; pertandingan robotik dan pameran pendidikan teknikal dan vokasional atau TVET.

Dalam pada itu, acara kemuncak Hari Belia Negara 2017 adalah Sambutan Hari Belia Negara yang bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Hotel Putrajaya Marriot City pada hari ini.

Pada hari terakhir itu, Timbalan Perdana Menteri dijangka menyampaikan anugerah tokoh belia negara dan persatuan belia terbaik kepada individu serta pertubuhan.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 11:15am
d