mutakhir

JPJ azam sifar rasuah

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa di jabatan berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, langkah itu juga satu daripada usaha memperkukuhkan integriti dalam kalangan pegawai atasan JPJ untuk lebih bertanggungjawab dan memimpin kakitangan di bawah penyeliaan.

"Perjanjian persefahaman antara JPJ dan SPRM adalah kesinambungan daripada Pelan Integriti JPJ yang dilancarkan pada Februari lalu.

"Melalui perjanjian persefahaman ini, JPJ akan bekerjasama dengan SPRM dengan lebih erat ke arah matlamat sifar rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa," katanya pada sidang media MoU antara JPJ dengan SPRM di Putrajaya hari ini.

Pada majlis berkenaan, Ab Aziz menyaksikan MoU ditandatangani antara JPJ diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron manakala SPRM diwakili oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Selain itu, turut dilancarkan ialah Polisi Tiada Hadiah selain lafaz Ikrar Bebas Rasuah oleh pegawai dan kakitangan JPJ.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 12:20pm
d