mutakhir

Dituduh edar 28kg syabu [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DUA lelaki masing-masing warga tempatan dan Thailand dituduh di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis, hari ini, atas pertuduhan mengedar syabu seberat 28 kilogram, awal bulan ini.

Jamil Abdul Ghani dan Kitti Semruk masing-masing berusia 55 tahun mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding didengar Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah di laluan Import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin, Padang Besar pada 2 petang, 3 Mei lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca serentak Seksyen 34 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 7 Ogos depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 1:11pm
d