mutakhir

Kereta terbalik di halaman rumah

Sitiawan: “Ketika saya sedang membaca Al-Quran, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dari arah depan membuatkan saya bangun dan melihat ke luar melalui tingkap rumah.

“Alangkah terkejutnya apabila mendapati sebuah kereta sudah terbalik di halaman rumah,” kata warga emas, Azizah Abas,71.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, kereta Proton Saga dipercayai terbabas ke halaman rumah Azizah dan merempuh pokok jambu selepas cuba mengelak sebuah kenderaan yang membelok secara tiba-tiba.

Azizah berkata, ketika kejadian dia bersendirian di rumah selepas suaminya Ahmad Taib, 73, keluar membeli makanan di kedai berhampiran.

“Bunyi dentuman itu sangat kuat dan saya yang berdebar-debar berlari ke tingkap dan melihat sebuah kereta sudah terbalik sebelum orang ramai memenuhi halaman rumah.

“Saya tidak tahu macam mana kejadian ini boleh berlaku kerana sebaik sahaja saya tengok di tingkap kereta sudah terbalik dengan tayar ke atas. Orang ramai yang berada di situ cuba membantu mangsa sebelum polis, bomba serta pasukan perubatan tiba memberi bantuan, saya lihat dua mangsa cedera,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, kereta yang dinaiki seorang lelaki dan wanita muda itu dipercayai merempuh pokok jambu di halaman rumahnya sehingga mengakibatkan tiang telefon tumbang manakala paip air yang disambungkan ke rumahnya pecah.

“Namun saya lega kerana tiada perkara lebih buruk berlaku kepada mangsa dan kejadian itu pertama kali berlaku di halaman rumah walaupun pernah beberapa kali kemalangan berlaku di jalan raya hadapan rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mustafa Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.52 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki dua mangsa itu dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan cuba mengelak kereta di hadapan yang membelok ke kanan sebelum terbabas ke halaman rumah penduduk.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 1:40pm
d