mutakhir

Berseorangan besar 2 anak sakit kronik

Kuantan: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itu gambaran pengorbanan seorang ibu tunggal, Hasni Mohamed Nor, 37, yang bukan saja menempuh kehidupan membesarkan tiga anak tanpa suami di sisi, malah turut diduga dengan menjaga dua daripada yang menghidap penyakit kronik.

Ketika ditemui, wanita berasal dari Kampung Jaya Gading, di sini, itu hanya mampu tersenyum apabila mengenangkan nasibnya kehilangan suami yang menjadi tempat bergantung sejak tiga tahun lalu akibat serangan jantung.

Katanya, dia pasrah dengan ujian Allah termasuk membesarkan dua anaknya iaitu Nur Atiqah Ramadhan Mustapa, 7, yang menghidap penyakit jantung bengkak serta Mohamad Haziq, 4, yang mengidap kanser darah.

“Sedih memang sedih kenangkan nasib saya yang sudah kehilangan suami serta perlu membesarkan anak-anak.

“Tapi hidup kena teruskan dan saya yakin Allah itu ada untuk memberikan pertolongan, kita perlu yakin dan sentiasa berdoa,” katanya.

Selain perlu menanggung perbelanjaan rawatan dan perubatan dua anaknya yang tinggi, Hasni yang tidak mempunyai pendapatan tetap hanya mengharapkan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Pusat Zakat Pahang yang berjumlah RM600 sebulan.

Ibu tunggal yang mendirikan rumah tangga pada 2004 dengan pasangannya, Mustapa Muda, tidak terdaya lagi untuk merintih mengenangkan nasibnya sebaliknya terus cekal menguruskan kehidupan mereka berempat walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Saya pernah terfikir untuk cari kerja tapi saya tidak boleh tinggalkan Haziq, dia memerlukan rawatan dan penjagaan rapi.

“Jika saya keluar bekerja maka kehidupan Haziq akan lebih terabai,” katanya.

Bagaimanapun, ibu tunggal itu boleh menarik nafas lega apabila dia turut menerima bantuan iaitu susu formula untuk anak lelaki tunggalnya yang disumbangkan syarikat swasta sejak beberapa bulan lalu.

Dalam keadaan serba kekurangan Hasni tidak menjadikan keperitan hidup mereka sebagai alasan untuk memberikan pendidikan buat dua anak perempuannya.

Katanya, Nur Atiqah Ramadhan dan Nur Fatihah, 12, turut bersekolah seperti biasa iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Damai, di sini.

Malah, dia turut menjadikan motosikal sebagai kenderaan untuk berulang-alik mengambil dan menghantar dua puterinya itu selain turut meminta bantuan kakaknya jika tidak berkesempatan berbuat demikian.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 1:45pm
d