mutakhir

Bersalin dalam Uber

Oleh Junaidi Ladjana

PEMANDU Uber sambilan berdepan detik mencemaskan apabila wanita mengandung yang menaiki keretanya bersalin ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian 8 malam, ibu muda berusia awal 20-an menaiki kereta itu bersama dua ahli keluarganya.

Dia mengadu sakit perut sebelum menjerit memberitahu kepala bayi dalam kandungannya sudah keluar ketika dalam kereta Perodua Viva milik pemandu uber berkenaan.

Pemandu Uber sambilan itu, Fredoline Lunsin, 31, berkata, dia melihat ke belakang dan terkejut apabila kepala bayi sudah keluar.

"Pada masa itu, saya panik dan terus memecut tanpa memikirkan apa-apa kerana bimbang keselamatan wanita terbabit.

"Saya kemudian memberhentikan kereta di hadapan pintu HQE namun bayi itu sudah keluar lalu dibantu oleh jururawat," katanya yang juga pemandu lori.

Menurutnya, sebelum kejadian dia mengambil wanita terbabit bersama dua ahli keluarganya di depan Kompleks Megalong, Penampang.

"Wanita itu menghubungi telefon bimbit saya dan menyatakan mahu ke HQE lalu saya kemudian mengambilnya.

"Kira-kira enam minit perjalanan wanita itu mengadu sakit perut dan menyatakan mahu bersalin.

"Ini adalah pengalaman pertama saya berhadapan keadaan cemas seperti itu," katanya.

Bagaimanapun, bayi yang baru dilahirkan wanita terbabit meninggal dunia di HQE pada 1 pagi hari ini kerana masalah pernafasan

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 5:59pm
d