mutakhir

Tiga ditahan berceramah tanpa tauliah

Oleh Siraj Mohd Zaini

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menahan tiga penceramah bebas termasuk dua bekas peserta program Pencetus Ummah di sebuah masjid di Rawang kerana memberi ceramah tanpa tauliah, 9.50 malam semalam.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, penahanan yang dilakukan Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS itu dijalankan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor Tahun 2003 Pindaan 2015.

"Ketiga-tiga penceramah bebas berusia 30-an itu ditahan dalam satu forum yang dianjurkan oleh masjid di Rawang.

"Mereka dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Kuang bagi dirakam percakapan dan disoal siasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Op Mengajar Tanpa Tauliah itu bermula sejak 13 Mei lalu selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kelmarin, JAIS menahan seorang penceramah berusia 42 tahun di sebuah surau Seksyen 8, Shah Alam kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 6:03pm
d