mutakhir

Pasukan khas perinci punca kematian Mohamad Thaqif

Oleh BERNAMA

JABATAN Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru menubuhkan jawatankuasa perundingan bagi memperincikan laporan awal bedah siasat kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, yang dilaporkan dipukul seorang pembantu warden.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, jawatankuasa itu yang disertai beberapa ahli dan pakar patologi forensik dari seluruh negara, akan berbincang dan memperhalusi keputusan awal yang dikeluarkan sebelum membuat kesimpulan akhir punca sebenar kematian kanak-kanak berusia 11 tahun itu.

"Perkara itu telah dimaklumkan kepada kementerian dengan jawatankuasa itu mencari kesepakatan tentang punca kes itu sebelum keluar dengan satu keputusan muktamad.

"Sehingga itu, kita perlulah menunggu sebelum perkembangan atau keputusan akhir mengenainya dapat disebarkan kepada pengetahuan umum," katanya pada sidang media mengenai Kempen ''Mega Mydaftar'' di Putrajaya, hari ini.

Dr Subramaniam bagaimanapun tidak mendedahkan kandungan laporan awal yang menjadi rujukan perbincangan jawatankuasa itu.

Kisah Mohamad Thaqif yang dimasukkan ke HSI Johor Bahru pada 19 April lalu, menjadi tular di media sosial selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kakinya dipercayai akibat dipukul pembantu warden di madrasahnya.

Selepas kedua-dua kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadual dipotong dari jari hingga bawah siku.

Namun, pembedahan itu ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil.

Pelajar itu bagaimanapun meninggal dunia pada 26 April lalu.

Kisahnya turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang meminta siasatan kes kematiannya dipercepatkan.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 6:35pm
d