mutakhir

JAWI puas hati tahap kebersihan masjid

Oleh Idris Musa

KIRA-kira 40 peratus masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan mencapai tahap kebersihan terbaik bagi tempat wuduk dan tandas dengan penarafan lima bintang oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pengarah JAWI Abdul Aziz Jusoh berkata, beliau berpuas hati kerana ada antara masjid yang diberikan penarafan lima bintang itu sangat cemerlang tahap kebersihannya iaitu mendapat markah penuh.

Menurutnya, penilaian terhadap kebersihan masjid dibuat oleh pihaknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang membabitkan beberapa kriteria sebelum diberikan penarafan dari satu hingga lima bintang.

"Kita berpuas hati (dengan tahap kebersihan masjid). Kita faham ada yang tandasnya begitu uzur dan memerlukan kos. Walaupun ia menjadi satu halangan, kita masih mampu untuk menjaga kebersihan.

"Sebagai individu apabila kita ke tandas, apa salahnya selepas kita guna, kita juga membersihkannya. Itu yang kita sangat berharap dengan piawaian bintang ini. Masyarakat menggunakan tandas dan membersihkannya balik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran portal e-kariah dan penarafan kebersihan masjid sempena Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Zon 5 di Masjid Al Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini.

Sempena majlis itu juga diadakan penyerahan memorandum Rang Undang-Undang (RUU) 355 oleh Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar selain pelancaran skuad jejak asnaf dan penyampaian bantuan berjumlah RM1,067,000 kepada masjid dan surau parlimen berkenaan.

Penarafan kebersihan masjid bagi zon itu membabitkan 15 masjid yang menyaksikan Masjid An Najihin di Bandar Seri Permaisuri, Cheras dan Masjid Zaid bin Thabit di Bandar Tasik Selatan muncul masjid paling cemerlang tahap kebersihannya.

Berkenaan portal e-kariah bagi zon itu, Abdul Aziz berkata, ia diwujudkan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat supaya mereka dapat mengakses maklumat berkaitan aktiviti masjid dalam sistem yang dibangunkan pihaknya.

"Tentu sekali program ini akan menambah nilai masjid, menambah kebaikan masjid dan surau, dapat memantau aktiviti dan keberadaan kita orang Islam sendiri. JAWI akan tetap membuat nilai tambah bagi menjadikan masjid tempat terbaik,” katanya.

ABDUL AZIZ...berpuas hati.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 6:52pm
d