mutakhir

Tragedi lampu isyarat rosak

Oleh Safuri Kamarudin

DUA penunggang motosikal maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kampung Lalang, Baling, 12.10 tengah hari ini.

Mangsa, Ibrahim Hussein, 81, dari Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, Baling meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa, Muhammad Kamaruzzaman Desa, 39, dari Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang meninggal dunia di Hospital Baling (HB), 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusof berkata, pelanggaran dua motosikal berkenaan berlaku disebebkan lampu isyarat di persimpangan itu tidak berfungsi.

Ibrahim yang menunggang Honda EX-5 dipercayai dari Pekan Kampung Lalang untuk pulang ke rumahnya di Mukim Siong manakala motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang Muhammad Kamaruzzaman pula dari arah Tanjung Pari ke Baling.

“Ketika melewati persimpangan lampu isyarat berkenaan, motosikal yang ditunggang Ibrahim dirempuh oleh motosikal yang ditunggang oleh Muhammad Kamaruzzaman Desa menyebabkan kedua-duanya tercampak dari motosikal masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, Ibrahim mengalami kecederaan di kepala kerana tidak memakai topi keledar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Shariffuddin berkata, penunggang motosikal berkuasa tinggi dihantar ke HB untuk rawatan namun meninggal dunia di hospital berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian.

Disiarkan pada: May 15, 2017 @ 7:35pm
d