mutakhir

Belum ada kes ransomware

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: “Setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan daripada individu atau syarikat yang menjadi mangsa serangan penggodam ransomware,” tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi, semalam.

Virus ransomeware sebelum ini menggemparkan seluruh dunia selepas dilaporkan menyerang sistem komputer beberapa organisasi besar di lebih 150 negara sejak Jumaat lalu.

Bagaimanapun, mangsa serangan virus menerusi kiriman e-mel itu dijangka akan meningkat berikutan hari bekerja seluruh dunia bermula semalam.

“Semakan setakat ini mendapati tiada sebarang laporan polis yang diterima berkaitan kes ransomware,” katanya.

Sehingga kini pakar teknologi maklumat seluruh dunia masih belum dapat mengesan individu atau sindiket yang bertanggungjawab menyebarkan serangan berkenaan.

Malah, dilaporkan, beberapa organisasi besar termasuk pangkalan data perkhidmatan kesihatan di England turut lumpuh selepas diserang virus berkenaan.

Virus itu turut melumpuhkan sistem komputer di Kementerian Dalam Negeri Russia dan syarikat gergasi penghantaran FedEx.

Virus ransomware dikatakan menyerang sistem komputer menerusi e-mel yang dikirimkan kepada pengguna.

Sebaik pengguna membuka lampiran atau jaringan webpage yang direka, virus berkenaan akan terus membuatkan sistem komputer menjalankan kod ransomware.

Virus ransomware kemudiannya akan menyulitkan fail penting dan meminta bayaran tebusan sebanyak AS$300 (RM1,300) untuk dilepaskan.

Sementara itu, pakar mendedahkan penyebaran virus ransomware itu menunjukkan bahawa ia sudah muncul di negara ini.

Varian baru virus itu yang digelar sebagai WanaCrypt0r 2.0 dilaporkan muncul di ruang siber.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan agensi itu belum menerima apa-apa laporan serangan WannaCry di negara ini sehingga tengah hari, semalam.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 4:48am
d