mutakhir

Anjur mogok lapar tanda solidariti

Oleh myMetro

Shah Alam: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhasrat mengadakan mogok lapar selama sehari sebelum Ramadan sebagai tanda solidariti kepada tahanan Palestin di penjara Israel.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang juga jurucakap Sekretariat Palestin Malaysia Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, 1,500 tahanan Palestin mogok lapar sejak 17 April lalu bertujuan menuntut keadaan lebih baik di penjara termasuk dilarang berjumpa dengan mana-mana pihak sepanjang ditahan.

“Kami bukan saja mengajak umat Islam, tetapi penganut agama lain di negara ini. Ia membabitkan kekejaman dan kezaliman yang tidak boleh diterima mana-mana agama kerana tahanan diberi makanan tidak halal dan dipaksa makan ketika Ramadan sebelum ini.

“Selain itu, kami akan meminta pandangan golongan alim ulama mengenai cara dan kaedahnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama 23 NGO, di sini, semalam.

Selain MAPIM dan Sekretariat Palestin Malaysia, NGO itu turut membabitkan Kelab Putera 1Malaysia, Aman Palestin, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Persatuan Ulama Malaysia dan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia.

Mengulas lanjut, kata Mohd Azmi, gabungan NGO Islam akan mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara, jam 10.30 pagi esok sebelum menyerahkan memorandum bantahan mengenai kekejaman Israel.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 5:07am
d