mutakhir

Lelaki bunuh abang direman 4 hari

Oleh myMetro

Bukit Mertajam: Lelaki yang membunuh abang kandungnya selepas bertengkar dan bergelut mengenai harta pusaka di Kampung Sama Gagah, di sini, semalam, direman empat hari, bermula semalam.

Suspek berusia 48 tahun itu berpakaian lokap unggu, tiba di Mahkamah Majistret di sini, jam 8.30 pagi semalam.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar mahkamah, Nor Hapipah Abdullah bagi membolehkan siasatan berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa kelmarin juga mendapati punca kematian akibat serangan jantung dan kecederaan dalaman.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi kelmarin itu, seorang lelaki maut selepas bergelut dengan adiknya membabitkan isu pembahagian harta pusaka.

Mangsa Lim Poh Hau,59, dipercayai ke rumah suspek yang juga adiknya Lim Hi Hau, 48, di Kampung Sama Gagah, di sini, sebelum membuat provokasi dengan melanggar suspek dengan motosikal dinaikinya.

Sejurus itu, berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum Poh Hau disembur dan kepalanya dihentak dengan alat pemadam api sehingga meninggal dunia.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 5:19am
d