mutakhir

Kamera baru untuk pengguna media sosial

Oleh BERNAMA

FUJIFILM (Malaysia) Sdn Bhd yakin bahawa kamera baharunya, instax mini 9, akan memacu sasaran jualan global sebanyak 7.5 juta unit pada tahun kewangan 2017 dengan memanfaatkan pengguna media sosial.

Menurut Pengarah Urusan Yoshi Nakamura, syarikat menjangkakan instax mini 9 akan menyumbang kira-kira 65 peratus kepada jumlah jualan disebabkan oleh harganya yang berpatutan dan memenuhi keperluan pasaran, manakala bakinya akan disumbangkan oleh segmen-segmen lain.

"Kami mencatatkan pertumbuhan sebanyak 30 peratus dalam jualan global kami pada 2016 dan kami mempunyai enam produk kamera mini, kamera WIDE dan pencetak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan instax mini 9 dan instax SQUARE SQ10 di Kuala Lumpur, hari ini.

Kata Nakamura, jualan Fujifilm di pasaran tempatan meningkat 30 peratus pada permulaan tahun kewangannya berbanding dengan tempoh yang sama dalam tahun lepas, dan menambah bahawa Malaysia menyumbangkan kira-kira 20 peratus kepada segmen Asia.

Beliau juga mendedahkan bahawa hanya 30 peratus daripada rakyat Malaysia yang tahu tentang kamera instax.

"Terdapat pasaran yang berpotensi di sini dan itulah sebabnya, mengapa kami merancang untuk membuka tiga kedai konsep pada 2017, selain dua kedai yang sudah sedia ada di Lembah Klang," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 3:47pm
d