mutakhir

Dituduh mencabul kehormatan

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

KOPERAL polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan video lucah kepada gadis berusia 19 tahun di Kuala Sanglang, Perlis, pada Mac lalu.

Tertuduh, Azmi Nik, 43, yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim didakwa memeluk mangsa daripada belakang dengan maksud mencabul kehormatan di sebuah rumah di persisiran pantai Kuala Sanglang pada 9 pagi, 16 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua, Azmi didakwa menunjukkan video lucah kepada gadis berkenaan dengan maksud mengaibkan kehormatannya pada masa dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Mohd Azhar Hamzah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 15 Jun depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 5:13pm
d