mutakhir

Terus beri keselesaan [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

DUA stesen minyak baru pada 2018, berusaha memastikan haiwan peliharaan dan haiwan liar tidak melintas jalan sehingga mengakibatkan kemalangan dan terus memberi keselesaan kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

Itu usaha anak syarikat PLUS Malaysia Berhad (PLUS), LPT2 Sdn Berhad yang mengambil alih operasi dan penyelengaraan daripada kerajaan sejak 15 Julai tahun lalu selepas 18 tahun lebuhraya itu beroperasi.

Pengurus Besar LPT2 Husni Md Yusuf berkata, sebanyak 77 kes kemalangan direkodkan dari Januari hingga April tahun ini akibat melanggar haiwan.

"Ada pengguna jalan raya terlanggar tapir, monyet dan harimau kumbang menyebabkan mereka kemalangan. Papan tanda di beberapa kawasan 'hotspot' seperti Paka juga ada diletakkan supaya pengguna berhati-hati di kawasan berkenaan," katanya.

Menurut Husni, ketika ini ada terowong bawah tanah disediakan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di sepanjang LPT2 menjadi tempat yang boleh dilalui oleh haiwan.

“Kita juga memasang pagar di sepanjang 184 kilometer LPT2 dari Jabor ke Kuala Terengganu, namun ada individu tidak bertanggungjawab melakukan memotor pagar dawai itu.

"Setakat ini, kita sudah membaiki pagar sepanjang 36 kilometer di LPT2 yang membabitkan kos sebanyak RM2 juta.

"Kita turut mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kampung berhampiran lebuh raya ini bagi memberi pendedahan tentang fungsi pagar yang tidak boleh dipotong sesuka hati," katanya.

Husni berkata, dua stesen minyak akan dibuka pada 2018 bagi keselesaan pengguna.

"Kami akan membina stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Perasing di mana RNR ini akan dibangunkan untuk dijadikan sebagai hentian pengguna mendapatkan produk tempatan seperti keropok lekor dan makanan tradisional," katanya.

Menurut Husni, LPT2 dapat memendekkan tempoh perjalanan pengguna yang mahu ke destinasi di Pantai Timur.

"Sebelum ini, pengguna perlu memandu tujuh atau lapan jam namun dengan adanya LPT2 pengguna jalan raya dapat menikmati perjalanan ke Pantai Timur yang selama empat atau lima jam saja.

"Lima RNR dan empat hentian sebelah turut disediakan untuk keselesaan pengguna," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2017 @ 6:43pm
d