mutakhir

Bawa berita gembira

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan lawatan beliau ke China selama lima hari berakhir semalam mencapai keberhasilan sangat menggalakkan.

Menurutnya, lawatan yang bermula di Hangzhou dan berakhir di Beijing itu boleh dirumuskan berdasarkan empat kejayaan utama termasuk sembilan perjanjian persefahaman (MoU) dalam pelbagai sektor sebanyak AS$7.22 bilion (RM31.3 bilion).

“Dalam perbincangan bersama Perdana Menteri Li Keqiang, beliau turut memberi jaminan kerajaan China terus menyokong syarikat China melabur di Malaysia.

“Pelaburan dari negara luar seperti ini pasti membantu rakyat kita dari segi penambahan peluang pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi. Ini sejajar cita-cita kita menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” katanya melalui catatan di blog najibrazak.com bertajuk Hasil Lawatan Ke China Mei 2017.

Najib berkata, daripada segi hubungan dua hala pula, Presiden Xi Jinping memberitahu, hubungan antara Malaysia dan China berada pada tahap terbaik dalam sejarah.

“Dan beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan Malaysia terhadap inisiatif One Belt, One Road (Satu Jalur, Satu Laluan).

“Alhamdulillah, sebagai antara negara pertama menyokong inisiatif ini, kita sebenarnya mendapat manfaat langsung seperti pembiayaan pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) oleh Exim Bank of China.

“Saya juga ambil maklum China menambah pembelian minyak sawit dari Malaysia atas permintaan saya pada lawatan November lalu,” katanya.

Menurutnya, perkembangan daripada segi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) juga memberangsangkan dengan MoU antara Malaysia Digital Economy Corporation, Hangzhou Municipal Government dan Alibaba (China) Company Limited.

“Insya-Allah, kita dapat membangunkan industri e-dagangmelalui inisiatif ini apabila Malaysia bakal menjadi hab ekonomi digital di rantau Asia Tenggara dengan anggaran pertumbuhan dua angka manakala Hangzhou pula menjadi hab di China.

“Ini berita baik buat pengusaha kecil dan sederhana di negara kita,” katanya.

Najib berkata, sewaktu mesyuarat dua hala dengan Sri Lanka, beliau menyatakan kesediaan Malaysia memulakan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Sri Lanka.

“Perdana Menteri Ranil Wickremensinghe juga menjemput syarikat Malaysia melabur di sana atas dasar pelaburan mereka yang lebih terbuka,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 4:25am
d