mutakhir

Inovasi pembaharuan desa

Oleh Hamizah Badiran

Pembabitan generasi muda dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam pembangunan negara terutamanya di luar bandar amat penting bagi memberi idea baru yang lebih kreatif dan inovasi untuk pembaharuan sesebuah desa dari aspek ekonomi, prasarana fizikal atau pemikiran masyarakat.

Menyahut cabaran ini, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melancarkan program Usahawan Belia Pengajian Tinggi Balik Kampung (U2Desa) membabitkan 2,664 penuntut daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk memperkasakan aspek itu melalui aktiviti keusahawanan.

Program itu adalah kerjasama strategik antara KKLW bersama IPT tempatan dengan pembabitan penuntut keusahawanan dari IPT terpilih serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan program julung kali itu bertujuan membangunkan ekonomi luar bandar dan mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan itu.

Beliau berkata, menerusi program itu, ia diharap mengatasi masalah penghijrahan belia luar bandar ke bandar.

“Ketika ini, kawasan luar bandar mewakili 75 peratus keluasan Malaysia tetapi jumlah penduduk di kawasan berkenaan hanyalah 26.3 peratus. Jika trend ini berterusan, ia akan berkurang sehingga 20 peratus menjelang 2020.

“Justeru, KKLW cuba mengatasi masalah ini melalui penganjuran program U2Desa selain melaksanakan program Lestari Desa dan Cabaran Keusahawanan Luar Bandar (RBC),” katanya pada program U2Desa di Dewan Tuanku Canselor, UM, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Tambah Ismail Sabri, penuntut disaran membabitkan diri secara langsung dalam perancangan dan pembangunan negara terutamanya di kawasan luar bandar supaya mereka dapat meningkatkan ekonomi di desa.

“Realitinya, anak muda masa kini lebih ramai yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan kerana tidak banyak tawaran kerja dengan faedah yang menarik di kampung masing-masing.

“Oleh itu, kalau boleh kita mahu melakukan perubahan atau ‘reverse migrataion’ untuk membolehkan lebih ramai belia di bandar pulang atau kekal di kampung, sesuatu perlu dilakukan bagi memajukan kampung halaman mereka melalui bidang keusahawanan.

“Di sinilah program U2Desa berperanan membentuk dan mengukuhkan sinergi pembangunan desa antara generasi muda dengan penduduk kampung bagi memapankan aktiviti ekonomi desa serta keusahawanan,” katanya.

Program itu membabitkan 400 kampung di seluruh negara. UM dan UniKL dipilih sebagai universiti perintis kerana mempunyai program keusahawanan untuk penuntut di universiti masing-masing.

Katanya, peserta akan melakukan ‘profiling’ atau pengenalpastian sumber di kampung bersama JKKK dan mereka akan menyediakan cadangan projek perniagaan serta pelan perniagaan yang sesuai dengan kampung masing-masing.

“Pelan perniagaan mereka itu akan dinilai KKLW dan pihak berkaitan, jika relevan dan berdaya maju, kementerian akan memberikan dana permulaan RM10,000 untuk mereka menjalankan projek keusahawanan berkenaan.

“Mereka juga perlu mencapai dua petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu mewujudkan dua peluang pekerjaan baru di setiap kampung serta meningkatkan pendapatan koperasi kampung sebanyak lima peratus selepas setahun menjalankan aktiviti perniagaan.

“Saya percaya, jika mereka berjaya dengan perniagaan yang dirancang, pasti lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk anak muda lain,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 4:37am
d