mutakhir

Cuci kereta balas jasa

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa menganjurkan program santai buat pertama kali sempena Hari Guru dengan memberi perkhidmatan mencuci kereta secara percuma kepada semua guru di sekolah berkenaan.

Yang Dipertuanya Shahpandi Abdul Manan, 43, berkata, tujuan program itu dianjurkan adalah untuk membalas jasa guru yang sudah bertungkus-lumus mengajar murid di sekolah.

“Melalui cara ini, ia dapat meringankan beban guru di sekolah supaya tidak perlu mencuci kereta di luar.

“Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan PIBG menerima 40 kenderaan untuk dicuci daripada guru di sebelah sesi pagi dan petang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, program ini turut disertai 15 ibu bapa yang sanggup mengambil cuti separuh hari untuk turut sama mencuci kereta.

“Program ini dilihat secara langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara guru, ibu bapa serta murid.

“Kita juga bercadang untuk meneruskan program santai seperti ini pada tahun hadapan demi membalas jasa guru yang sudah penat mengajar murid di sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 5:19am
d