mutakhir

Pelajar tahfiz cedera tulang rusuk dipukul warden

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah tahfiz di Shah Alam, Selangor, cedera tulang rusuk dan lengan selepas dipukul teruk warden asrama sekolah berkenaan minggu lalu.

Kejadian didakwa berlaku jam 5 petang, 10 Mei lalu, ketika mangsa dipanggil untuk berjumpa warden yang juga ustaz di sekolah tahfiz itu.

Warden terbabit dikatakan bertanyakan pelbagai soalan peribadi, namun mangsa menafikannya tuduhan itu.

Akibatnya mangsa mendakwa dipukul warden terbabit menggunakan rotan selain turut ditumbuk pada tulang rusuk hingga bengkak.

Mangsa yang kesakitan segera menghubungi bapanya sebelum dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan selain membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, keesokan harinya.

Bapa mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, anaknya baru seminggu berpindah ke sekolah berkenaan.

Dia mendakwa ia bukan kejadian pertama berikutan anaknya pernah didenda sebelum ini oleh individu sama kerana didakwa hadir lewat ke kelas.

“Berikutan kejadian, anak saya kini trauma untuk ke sekolah dan masih lemah. Dia masih berasa sakit pada badannya.

“Sebelum ini, dia (anak) pernah dirotan namun kejadian tempoh hari amat melampau dan ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, walaupun ustaz itu sudah meminta maaf dan mahu menanggung kos rawatan anaknya namun sebagai bapa dia tidak dapat menerima perbuatan ganas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, kertas siasatan sudah dibuka dan polis akan memanggil semua saksi yang terbabit dengan kejadian itu termasuk warden berkenaan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Disiarkan pada: May 17, 2017 @ 5:33am
d