mutakhir

Angkara forex

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Kehidupan seorang suri rumah kini tidak keruan apabila dia bukan saja ditipu sindiket pelaburan mata wang asing (forex) malah hubungan kekeluargaan turut musnah angkara kegagalannya melunaskan pinjaman daripada kakaknya.

Menceritakan detik hitam itu, mangsa hanya mahu dikenali sebagai Zana, 45, berkata kehidupannya menjadi porak-peranda selepas berkenalan dengan seorang wanita September tahun lalu.

Difahamkan, wanita itu mendakwa ketua pelaburan forex yang mampu memberikan pulangan berlipat kali ganda sebaik pelaburan dibuat.

Zana berkata, dia mengenali wanita berusia 30-an itu daripada seorang rakan yang kemudian mengajaknya bertemu wanita berkenaan di rumahnya di Kajang, Selangor, sebelum bersetuju membuat pelaburan berjumlah RM5,000.

“Saya mulanya berat untuk masuk pelaburan itu kerana memikirkan bermacam-macam perkara seperti faktor saya seorang suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan.

“Tetapi, apabila diyakinkan rakan yang mendakwa konon mendapat pulangan lumayan, saya terus membuat pinjaman dengan kakak RM5,000,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Bagaimanapun, katanya segala janji tinggal janji apabila pulangan keuntungan yang sepatutnya dibayar Oktober tahun lalu tidak ditunaikan, malah wanita itu lesap bersama wang modal dilaburkannya.

Zana yang menetap di Sungai Koyan, Lipis berkata, berikutan itu, hubungan dengan kakak renggang selepas dia gagal membayar hutang dan mengakui tertekan selepas tidak mempunyai hasil apabila menyertai pelaburan itu.

“Saya ada buat pinjaman dengan rakan untuk bayar duit kakak. Hubungan kami menjadi teruk kerana sehingga kini saya tidak mampu melunaskan hutang itu. Saya hanya dapat bayar sebahagian,” katanya.

Ibu kepada enam anak itu berkata, dia turut dimaklumkan ada beberapa mangsa lain yang ditipu wanita sama membabitkan kerugian lebih besar hingga mencecah RM100,000.

Merasakan dirinya ditipu, Zana membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub Oktober tahun lalu dan hingga kini siasatan kes itu masih berjalan.

Sementara itu, sumber Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang ketika dihubungi, di sini, semalam, mengesahkan laporan dibuat mangsa dan memaklumkan siasatan kes berkenaan dijalankan JSJK Selangor.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 3:54am
d