mutakhir

'Beri kami peluang...'

Oleh Faliq Lajim

Klang: “Kami mohon belas ihsan untuk dibenarkan berniaga di sini kerana kami tidak mampu menyewa kedai,” kata Muhammad Zaiful Ahmad Daud, 22, yang berniaga makanan di Flat Bayu Perdana dekat sini.

Kelmarin, binaan tambahan di luar rumahnya bersama puluhan peniaga dan pemilik rumah lain dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Keadaan itu menyebabkan peniaga serta pemilik rumah di kawasan itu buntu serta bimbang nasib mereka.

Muhammad Zaiful yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan berkata, dia terkilan kerana gerai yang dibina beberapa tahun lalu dan menjadi sumber pendapatannya sekeluarga dirobohkan.

“Saya dan ibu yang juga ibu tunggal berniaga makanan secara kecil-kecilan di depan rumah bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk tiga adik yang masih bersekolah.

“Bukan saya tak mahu mencari pekerjaan lain namun masalah penglihatan menyukarkan saya untuk bekerja walaupun saya adalah pemegang diploma perniagaan daripada sebuah kolej swasta,” katanya sebak.

Menurutnya, dia tidak mampu menyewa kedai berikutan kadar sewa tinggi selain lokasinya jauh.

“Sepanjang berniaga kecil-kecilan di sini, saya mampu memperoleh RM100 hingga RM150 sehari dan jika menyewa kedai, sudah tentu kadar sewanya tinggi.

“Saya berharap pihak berkuasa menyediakan tempat untuk kami berniaga tanpa sebarang masalah seperti mana semalam (kelmarin),” katanya.

Peniaga, Halija Lamasa, 41, berkata, dia menerima notis kelmarin dan diminta membuka struktur kedainya dengan segera.

“Saya sudah berniaga lebih 10 tahun di sini dan ini kali pertama tindakan ini diambil.

“Kami berharap pihak berkenaan memberi peluang kepada kami untuk berniaga kerana ini punca rezeki kami,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Flat Bayu Perdana Salju Tapong, 70, berkata, tindakan itu bukan saja merugikan penduduk dan peniaga tetapi menyukarkan mereka untuk membeli barangan keperluan serta makanan.

“Jika semua peniaga di sini dikenakan tindakan, di mana kami mahu membeli barang.

“Kedai yang terdekat terletak di seberang jalan utama dan jika kanak-kanak pergi ke kedai itu, ia membahayakan nyawa mereka,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyatakan 23 unit binaan tambahan dirobohkan pada operasi kelmarin.

Tindakan penguatkuasaan itu pula diambil mengikut Akta Parit, Jalan dan Bangunan (Akta 133).

Setiausaha MPK Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan pembinaan struktur kedai tanpa kelulusan yang disambungkan dengan rumah pemilik premis.

“Kami merobohkan binaan haram yang disambungkan daripada rumah untuk dijadikan kedai.

“Kami juga mengambil tindakan terhadap pemilik binaan struktur tambahan di luar sempadan lot (di atas harta milik bersama),” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 3:56am
d