mutakhir

Tendang muka isteri

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: “Saya sudah maafkan dia Yang Arif,” kata Siti Norlizawati Ahmad, 34, ketika memberi keterangan impak mangsa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap kesalahan suaminya yang menendang muka dia pada Disember tahun lalu.

Walaupun mengalami bengkak muka dan mulutnya berdarah akibat perbuatan itu, Siti Norlizawati mengakui di hadapan Hakim Nazri Ismail bahawa dia sudah memaafkan suaminya Sahabuddin Hanafi, 38.

Cuma katanya, mahu hukuman yang dijatuhkan dapat memberi pengajaran kepada Sahabuddin yang dituduh melakukan kesalahan berkenaan.

“Saya berharap dia tidak akan ulangi kesalahan sama,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap tertuduh, bermula semalam.

Mengikut pertuduhan, Sahabuddin didakwa mendatangkan kecederaan parah terhadap Siti Norlizawati di bahagian muka dan kaki di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada 11 pagi, 20 Disember 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa bergaduh dengan mangsa selepas wanita itu menolak ajakan suaminya untuk pulang ke rumah ibunya di Pasir Puteh.

Mangsa menolak ajakan itu kerana ingin pulang ke rumah ibunya yang sakit.

Namun, tertuduh berang dan kemudian bertindak menyepak muka mangsa hingga mengalami bengkak dan berdarah di mulut.

Mangsa membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

“Selepas kejadian itu saya sudah insaf dan hubungan kami sudah baik,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 4:09am
d