mutakhir

Dituduh di mahkamah buat kali ketiga

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BEKAS pengurus kanan sebuah syarikat perdagangan antarabangsa yang pernah didakwa dua kali sebelum ini, dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas 27 lagi pertuduhan mengemukakan tuntutan pembelian palsu membabitkan RM50.9 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Foo Tseh Wan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Berdasarkan semua pertuduhan itu, Foo didakwa sebagai ejen kepada syarikat Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd menggunakan 27 dokumen tuntutan pembelian keseluruhannya berjumlah RM50.9 juta untuk dikemukakan kepada Toyota Tsusho bagi digunakan dalam pengauditan yang mana ia adalah palsu.

Semua pesanan oleh lapan syarikat yang terbabit sebenarnya tidak pernah dibuat dan dalam pengetahuan tertuduh ia bertujuan mengelirukan pihak majikan.

Bagi perbuatan yang dilakukan di pejabat Toyota Tsusho cawangan Johor Bahru di Jalan Dato' Abdullah Tahir, pada 27 dan 28 Mei 2015 itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Putrajaya Mahadi Abdul Jumaat tidak menawarkan sebarang jaminan lain sebaliknya mencadangkan nilai ikat jamin RM450,000 yang diberikan terhadap tertuduh bagi dua kes sebelum ini diguna pakai.

Beliau turut mencadangkan kes baru dihadapi tertuduh hari ini dibicarakan bersama dua lagi kes sebelum ini.

Mahkamah bersetuju dan mengekalkan ikat jamin RM450,000 terhadap tertuduh dan 20 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula bagi menetapkan tarikh bicara.

Tertuduh diwakili peguam Elina Abdul Rashid dan prosiding turut dihadiri peguam pemerhati bagi pihak Toyota Tsusho, Magita Hari Mogan.

Pada 8 Mac 2016, tertuduh didakwa atas 115 pertuduhan memalsukan pesanan pembelian membabitkan nilai barang berjumlah RM101.64 juta, manakala pada 16 Januari lalu, dia didakwa pula atas 13 pertuduhan terbabit dalam penggubahan wang haram berjumlah RM500,000.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 2:29pm
d