mutakhir

Sorok RM800,000 dalam stor rumah

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai bernilai kira-kira RM800,000 dari rumah anggota polis yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut sekitar Melaka, semalam.

Sumber SPRM berkata, wang tunai berkenaan ditemui dalam stor di rumah koperal polis di kuarters Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ketika serbuan dilakukan pada 2.15 petang semalam.

Difahamkan, suspek lelaki berusia 52 tahun itu berperanan mengutip serta mengumpulkan wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut yang terbabit.

Sumber memaklumkan, SPRM akan melakukan tangkapan susulan sekitar Melaka selepas ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini anggota polis itu menjadi individu ke-10 direman bagi membantu siasatan kes rasuah.

Perintah reman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 Mei ini dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas membenarkan permohonan SPRM.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 2:35pm
d