mutakhir

Tujuh dituduh rasuah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

TUJUH individu termasuk wardar penjara, bekas pegawai polis, anggota polis dan kontaktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas tuduhan rasuah secara berasingan.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Adli Ghalib.

Mengikut pertuduhan, dua wardar penjara iaitu Ketua Inspektor Mohd Zamri Abdullah, 38, dan Lans Koperal Dzul Azam Nani, 33, didakwa menerima rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengasingkan banduan ke Blok Insaf di restoran makanan segera Pengkalan Chepa, kira-kira 6 petang, 20 Disember 2016.

Lans Koperal Muhammad Harris Mohd Rafe, 29, yang bertugas di Pasukan Gerakan Am Batalion 8 Pengkalan Chepa, pula didakwa terhadap tiga tuduhan meminta rasuah RM10,000 dan menerima RM8,000 daripada penyeludup sebagai dorongan tidak mengambil tindakan di Lorong Perumahan Rantau Bakti, Pasir Mas, 14 Ogos 2015.

Sementara itu, bekas Inspektor Polis Kavikumar Perumal, 27, didakwa meminta RM15,000 dan cuba memperoleh RM10,000 sebagai dorongan untuk tidak ambil tindakan terhadap lelaki yang memiliki kereta curi di Gual Periuk, Rantau Panjang, pada November 2015.

Tiga individu lain turut didakwa adalah peniaga, Syed Ahmad Farris Almuahajir Syed Mohd Nasir, 25; kontraktor, Ahmad Hizwani Shafii, 36; dan penganggur Shairuddin Ab Ghani, 32.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B), Seksyen 17 (a), Seksyen 17 (b), Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka semua dilepaskan dengan wang jaminan antara RM2,000 hingga RM15,000 dan menetapkan Jun dan Julai untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 18, 2017 @ 11:26pm
d