mutakhir

Daun saja gugur

Oleh Helmy Abd Rahman dan Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pokok benang sutera atau nama saintifiknya ceiba speciosa yang ditanam di Bandar Baharu Kuala Nerus tidak mati, sebaliknya hanya mengalami proses daun gugur berikutan perubahan iklim dan cuaca panas.

Pengarah Sheby Global Nursery Mohd Nasir Md Amin berkata, dakwaan pokok itu mati tidak tepat kerana pokok yang dianggarkan bernilai RM180,000 masih hidup dan proses pengeluaran daun serta tunas pada ranting sudah bermula.

“Saya pegawai yang diberi tanggungjawab menjaga landskap di tapak projek pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus mengesahkan pokok itu sihat walaupun tidak berdaun.

“Sudah menjadi habitat asal semua jenis pokok termasuk pokok benang sutera melalui proses keguguran daun dalam tempoh lima bulan selepas ditanam.

“Ketika pokok dalam proses pengeluaran tunas dan pucuk daun pada rating, kakitangan projek landskap diminta menyiram air tiga kali seminggu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Akhbar semalam melaporkan pokok benang sutera bernilai RM180,000 yang ditanam sejak lima bulan lalu sebagai mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus, di sini, mati kerana faktor cuaca, tanah dan baja.

Pokok yang dibawa dari Brazil itu mungkin mati kerana faktor cuaca di negara ini, selain tanah dan baja yang tidak sesuai hingga menjejaskan kesuburan pokok.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri mengesahkan pokok benang sutera itu tidak mati sebaliknya hanya mengalami proses keguguran daun berikutan pemindahan kawasan tanaman.

“Pokok disumbangkan kontraktor utama projek pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus dalam proses penyesuaian tanah menyebabkan berlakunya keguguran daun,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 3:16am
d