mutakhir

Ibu bapa kata OK!

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Tindakan pelajar sekolah menunggang motosikal tanpa lesen serta tidak memakai topi keledar membawa padah apabila disaman melalui operasi Op Didik dijalankan Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Selangor di beberapa sekolah di sekitar daerah ini semalam.

Alasan mereka, ibu bapa memberi ‘lampu hijau’ untuk membawa motosikal walaupun mengetahui ia salah di sisi undang-undang.

Ketua JSPT Selangor Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, dalam operasi bermula jam 7 pagi itu seramai 275 pelajar yang sedang menuju ke sekolah masing-masing dengan menunggang motosikal diperiksa.

“Hasilnya 138 saman dikeluarkan dan 10 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikesan adalah tidak mempunyai lesen (23), tidak memakai topi keledar (73), tidak mempunyai cermin sisi (2), tidak mengikut spesifikasi nombor pendaftaran (17), gagal mempamerkan tanda L dan P (9), tarikh luput lesen kenderaan motor (6), melanggar lampu merah (7) dan ubahsuai motosikal (4),” katanya.

Menurutnya, semua yang diperiksa itu berusia antara 14 hingga 40 tahun termasuk ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah.

“Operasi ini dijalankan bertujuan mendidik pelajar dan ibu bapa yang tidak mengendahkan peraturan jalan raya walaupun tahu perkara berkenaan boleh mengundang padah.

“Perkara ini secara tidak langsung boleh membahayakan mereka serta mengundang risiko kepada pemandu lain,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 5:03am
d