mutakhir

Botol, tin mabuk kena rampas

Oleh Faliq Lajim

Pelabuhan Klang: Cubaan sebuah syarikat mengelak membayar cukai 5,000 tin dan botol minuman keras pelbagai jenama bernilai RM21,600 membawa padah apabila semua barangan itu dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) petang kelmarin.

Dalam serbuan jam 3.40 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Op Landai PPM dan Unit Gempur Marin Pelabuhan Klang melakukan serbuan di sebuah gudang di Jalan Sungai Jati, Taman Wangsa di sini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki ditahan ketika berada di dalam gudang itu.

Dia berkata, pihaknya kemudian menemui minuman keras yang dipercayai tidak dibayar cukai.

Menurutnya, semua minuman keras berkenaan dibawa ke Pangkalan Marin untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang belum lulus Kastam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus membanteras penjualan arak mahupun rokok yang tidak bercukai dan akan sentiasa menjalankan pemeriksaan secara berkala.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 5:19am
d