mutakhir

Ajal rempuh belakang lori tangki

Oleh Omar Osman

PEMANDU lori tangki berusia 72 tahun maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah lori tangki lain di Kilometer 106.4 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Taman Keladi, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 10.20 malam itu, lori tangki dipandu Tan Hoa Peng tidak sempat mengelak dan merempuh sebuah lagi lori tangki membawa muatan susu getah yang bergerak perlahan di lorong kiri akibat tayar belakang pecah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, akibat rempuhan itu, bahagian depan lori tangki dipandu mangsa remuk teruk menyebabkan dia tercampak ke jalan raya manakala pemandu lori hadapan tidak cedera.

"Mangsa yang berasal dari Taman Selasih, Kulim, mengalami kecederaan parah di kepala dan tubuh. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas kereta dipandu merempuh belakang treler yang berhenti akibat kemalangan yang berlaku di hadapannya.

Md Zukir berkata, akibat rempuhan itu, Ooi Jein Shen dari Taman Bertam, Sungai Petani parah di kepala dan dihantar ke HSAH untuk rawatan namun meninggal dunia di Jabatan Kecemasan.

"Seorang lagi rakannya mengalami cedera ringan dan dua lagi tidak cedera," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 11:39am
d