mutakhir

Gagal seludup telur penyu

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

PASUKAN Polis Marin (PPM) Sandakan menahan seorang lelaki bersama kira-kira 3,000 telur penyu di perairan Kampung Forest, dekat Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, warga Filipina berusia 40 tahun terbabit disyaki datang dari Pulau Taganak dengan mengemudi bot pam bersendirian.

Kelibat suspek dikesan anggota PPM lalu dipintas dan pemeriksaan lanjut dilakukan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, pemeriksaan dalam bot menemui lima guni dan 10 plastik berisi telur penyu.

"Telur penyu itu dipercayai cuba diseludup masuk ke Sandakan. Suspek tiada keterangan diri yang sah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yazib berkata, lelaki terbabit bersama semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 4:24pm
d