mutakhir

Bantu kurangkan beban kos sara hidup

Oleh Ibrahim Isa

KERAJAAN negeri akan menjadikan Karnival Jualan Mega Muafakat Johor sebagai acara tahunan di kawasan Iskandar Malaysia bagi membantu mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa sama kerajaan negeri akan menjemput pengilang menyertai karnival itu dan menawarkan barangan mereka secara terus kepada pengguna.

"Sebagai contoh, sebelum ini pengilang menjual barang kepada pemborong pada harga RM1.50 sebelum pemborong menjual kepada peniaga RM2 dan akhirnya dibeli pengguna pada harga RM2.50.

"Mungkin selepas ini, pemborong boleh menjual terus kepada pembeli dan ia bukan saja menambah keuntungan mereka malah menjimatkan pengguna," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jualan Mega Muafakat Johor di parkir Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, di sini, hari ini.

Karnival kali kedua itu dianjurkan Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor membabitkan lebih 50 pengeluar pelbagai bahan makanan.

Karnival tiga hari itu sudah dianjurkan sejak 2015.

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 5:14pm
d