mutakhir

8 langkah proaktif tangani penerokaan haram Cameron Highlands

Oleh Muhammad Apendy Issahak

JAWATANKUASA Peringkat Tertinggi Mengenai Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah di Cameron Highlands hari ini memutuskan lapan langkah proaktif demi kepentingan penduduk di kawasan tanah tinggi itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu secara bersama dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) di Tanah Rata di sini hari ini berkata, antara langkah yang diambil adalah memberi peranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju melakukan pemantauan dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Kedua, mesyuarat memutuskan pemantauan dilakukan secara berkala supaya tidak berlaku pencerobohan haram sehingga mengakibatkan hakisan tanah dan banjir luar biasa.

"Ketiga, PDTCH akan melakukan penilaian semula terhadap lebih 600 permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang ditolak sebelum ini," katanya.

Menurut beliau, langkah keempat Jabatan Imigresen akan mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pekerja warga asing di situ.

"Langkah kelima, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengadakan gotong-royong perdana membersihkan sungai dan langkah keenam adalah membina penempatan baharu kepada 28 keluarga Orang Asli yang tinggal dalam 13 rumah di Kampung Sungai Tiang, Lembah Bertam," katanya.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu juga bersetuju mempertimbangkan agar semua rumah kedai yang disita sebelum ini dibenarkan beroperasi tetapi dengan dikenakan levi dan bayaran tertentu.

"Jawatankuasa ini turut akan mempertimbangkan pemberian permit penggunaan tanah kepada pengusaha haram yang sudah beroperasi lebih 30 tahun membabitkan kawasan seluas 229.2 hektar," katanya.

Keterangan gambar:

AHMAD ZAHID bersama Adnan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Mengenai Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah di Cameron Highlands.

Tamat//

Disiarkan pada: May 19, 2017 @ 6:26pm
d