mutakhir

Pindah gajah liar minggu depan

Oleh Mohamed Sahidi Yusof

Jeli: Usaha memindahkan seekor gajah liar yang ditangkap di Kampung Kuala Balah, di sini, Rabu lalu, ke kawasan lebih selamat dijangka bermula Selasa depan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan Hasdi Husain berkata, ketika ini pihaknya menunggu bantuan daripada Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu untuk pemindahan berkenaan.

Beliau berkata, gajah jantan berusia antara lapan hingga 10 tahun itu kini ditempatkan di kawasan semak berhampiran lokasi tangkapan sementara menunggu kerja pemindahan dijalankan.

“Gajah yang ditangkap itu dalam keadaan sihat dengan kakinya diikat rantai di bawah pengawasan PERHILITAN Jeli.

“Lazimnya kerja pemindahan gajah selepas ditangkap memerlukan khidmat dua gajah denak untuk mengiringinya,” katanya, di sini, semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, penduduk memaklumkan penemuan gajah di kawasan belukar dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Balah.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 5:21am
d