mutakhir

Ajal warga emas dirempuh kenderaan berat

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Selama: Seorang warga emas maut selepas motosikal Honda Wave yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Jalan Pekan Selama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa, Yaacub Ismail, 63, dari Kubu Gajah, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Selama Deputi Superintendan Loo Lian Lai berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 31 tahun dari Jalan Lampin ke Jalan Selama itu tidak sempat membrek dan merempuh mangsa yang keluar dari simpang utama.

“Akibat rempuhan itu, mangsa dan motosikalnya terperosok ke bawah lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Selama untuk dibedah siasat,” katanya.

Loo berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 5:24am
d