mutakhir

Dapat surah digemari

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Qari Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-59 dari Iran, Hamed Alizadeh Marghzari Gholamhassan, 26, tidak berdepan sebarang tekanan selepas menonton persembahan peserta lain.

Lebih meyakinkannya, surah al-Anfal yang dicabut peserta pilihan itu surah kegemaran yang pernah menobatkannya sebagai johan kebangsaan di negaranya.

Hamed Alizadeh berkata, meskipun kali pertama bertanding di peringkat antarabangsa, dia tidak menganggap persaingan ini sengit kerana percaya terhadap kebolehan diri sendiri.

“Ini peringkat antarabangsa, setiap peserta ada kelebihan umpamanya saya lihat kesungguhan dan bacaan yang baik peserta dari Brunei dan Indonesia.

“Biarpun saya peserta kedua terakhir daripada 56 peserta keseluruhan, saya tiada masalah,” katanya ketika ditemui selepas sesi cabutan di Hotel Sunway Putra, di sini, semalam.

Menurut Hamed yang mula mempelajari al-Quran sejak berusia 15 tahun, dia pernah bergelar juara dalam tilawah al-Quran peringkat kebangsaan di Iran dan mahu menimba pengalaman di peringkat dunia.

“Saya tidak meletak sasaran untuk menang di sini kerana mungkin dari segi pemarkahannya berbeza, cuma saya boleh katakan Brunei dan Indonesia antara peserta yang memberi saingan sengit,” kata bapa kepada dua anak itu.

Seramai lapan peserta memperdengarkan bacaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi yang juga hari terakhir saingan bagi kategori tilawah.

Keterangan Gambar

Pix : Hamed membuat latihan rapi untuk memberi persembahan yang baik.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 5:29am
d