mutakhir

Potong!

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Pemilik premis judi siber di daerah ini didapati membuat penyambungan bekalan elektrik secara haram bagi membolehkan kegiatan haram itu dihidupkan semula.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, biarpun banyak serbuan dijalankan malah bekalan elektrik premis dipotong, pemiliknya berusaha untuk menghidupkan semula aktiviti terbabit.

“Ada pemilik premis membeli meter elektrik dari luar daerah dan mengupah individu yang mahir dalam membuat penyambungan bekalan secara haram,” katanya.

Noorzainy berkata, kegiatan itu dapat dihidu pihaknya dan beberapa serbuan dibuat dengan kerjasama Majlis Daerah Jempol (MDJL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Untuk semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam), lapan premis yang membuat penyambungan bekalan elektrik secara haram dipotong,” katanya ketika ditemui pada operasi di Pusat Perniagaan Kempas, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua MDJL Zazali Salehuddin.

Menurut Noorzainy, pemotongan bekalan itu dibuat mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, 12 serbuan terhadap pusat judi siber dilaksanakan pihaknya dan pelbagai rampasan dan tangkapan dibuat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai premis judi siber di daerah ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di talian 06-4583449.

“Kami turut memerlukan aduan segera daripada orang ramai bagi mengambil tindakan terhadap premis judi siber dengan lebih pantas,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 5:33am
d