mutakhir

JKM kesan waris budak

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) meminta kerjasama orang ramai mengesan ibu bapa kandung atau waris kepada tiga bayi dan empat kanak-kanak.

Bagi kes pertama, kanak-kanak lelaki bernama Mohd Zaini, berusia tujuh tahun, kini berada dalam jagaan keluarga orang yang layak dan sesuai (OYLS). Kanak-kanak ini diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia enam bulan oleh lelaki dikenali Zaily Hisham pada 2010 tetapi ibu kandung kanak-kanak itu tidak diketahui identitinya.

Bagi kes kedua, bayi perempuan berusia tujuh bulan, Elsa Rozita berada dalam jagaan OYLS sejak berusia tiga minggu. Pelindung ingin mencari ibu kandung atau bapa kandung kanak-kanak ini.

Bagi kes ketiga, kanak-kanak lelaki, Peh Li Yang, berusia empat tahun, kini berada dalam jagaan bapa kandung sejak dilahirkan. Pelindung ingin mencari ibu kandungnya bernama Huzaimah Al-Halalia berasal dari Indonesia.

Bagi kes keempat, bayi perempuan, Elsa Najiha, 10 bulan yang berada dalam jagaan OYLS. Bayi ini diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia sebulan oleh ibu kandung yang dikenali sebagai Fatimah sebelum menghilangkan diri sehingga kini.

Bagi kes kelima, kanak-kanak lelaki bernama Ashraf, 10, yang juga berada dalam jagaan OYLS. Pelindung ingin mencari ibu kandung yang dikenali sebagai Malinah yang menghilangkan diri sehingga kini.

Bagi kes keenam, bayi lelaki bernama Ravi @ Pradeesh, berusia lapan bulan yang dirujuk dari Hospital Selayang dan kini dalam jagaan keluarga angkat. Pelindung ingin mencari ibu kandung kepada kanak-kanak ini.

Bagi kes terakhir, kanak-kanak perempuan bernama Avani, berusia tujuh tahun yang kini dalam jagaan keluarga angkat sejak diserahkan ibu kandung ketika berusia dua tahun. Pelindung ingin mencari ibu kandung kepada kanak-kanak ini.

JKMWPKL memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kanak-kanak atau waris untuk tampil bagi membantu siasatan dan urusan dokumentasi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pelindung di Bahagian Kanak-Kanak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26124039.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 5:39am
d