mutakhir

Johnny Ghaddar hebat

Oleh Azlan Hafeedz

Bachok: Dalam tempoh seminit, 20 biji kelapa berjaya dipetik seekor beruk digelar Johnny Ghaddar, sekali gus mencipta rekod baru dalam Pertandingan Beruk Petik Kelapa Terpantas Kelantan di Kampung Daramain, Pantai Damat di sini, semalam.

Ketangkasan beruk peliharaan Tuan Noor Aziz Mat, 27, dari Pauh Badang, Kota Bharu itu berjaya menumpaskan 60 beruk lain yang bertanding menguji kepantasan.

Tuan Noor Aziz berkata, Johnny Ghaddar seberat 60 kilogram berusia lima tahun dipeliharanya ketika dia berusia 16 tahun untuk memetik kelapa yang diwarisi daripada ayahnya, Mat Ahmad, 67.

Katanya, lima ekor lagi beruk dipelihara mereka di rumah dan dilatih supaya mendengar arahan sering dilakukan untuk pastikan ia patuh dan menurut kata.

“Saya mengambil masa sebulan untuk melatih Johnny Ghaddar memetik kelapa dan keupayaannya itu menarik beberapa pihak yang berminat untuk membelinya pada harga tinggi namun saya enggan menjualnya.

“Kemahiran itu juga mendorong saya untuk membawa Johnny Ghaddar menyertai pertandingan dan setakat ini, sudah 30 kali muncul juara daripada lebih 100 pertandingan yang disertai di seluruh Kelantan,” katanya yang sering menjadi johan kategori A bagi beruk berusia tiga tahun ke atas.

Sementara itu, pertandingan anjuran Zainab Agrofarm itu turut menarik perhatian penduduk setempat.

Mewakili penganjur, Mohd Zaini Yasin, 35, berkata, pertandingan itu sengaja diadakan untuk meraikan pemilik beruk sahaja, berbanding pertandingan membabitkan binatang peliharaan lain seperti kucing, kambing dan burung yang kerap diadakan.

Katanya, dia kagum melihat kehebatan pemilik mengajar beruk mereka memetik kelapa dan menjadikan ia satu acara yang menarik untuk ditonton.

“Hanya pemilik dan beruk itu sahaja memahami bahasa mereka ketika berkomunikasi dan penonton yang mendengarnya pasti tersenyum. Kami gembira anjurkan pertandingan ini yang disertai 46 pemilik dari seluruh Kelantan dan babitkan 60 beruk pelbagai usia,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 5:44am
d