mutakhir

Lima jam tumpas

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Dua penjenayah kempunan menikmati hasil rompakan apabila mereka ditahan polis kira-kira lima jam selepas menyamun sebuah rumah di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, di sini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian hanya disedari pemilik rumah jam 6 petang kelmarin, sejurus mendapati pintu jeriji besi kediaman dipecahkan dan keadaan dalam rumah berselerak.

Mangsa mendapati satu telefon pintar, satu tabung berisi wang tunai dianggarkan bernilai RM4,000 dan seutas jam tangan hilang.

“Mangsa membuat laporan polis sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Wangsa Maju melakukan gerakan mengesan suspek.

“Sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Taman Connought, Cheras di sini, dan menahan suspek lelaki berusia 46 tahun jam 11.30 malam,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas satu tabung besi, sebuah kereta yang digunakan ketika menyamun dan peralatan dipercayai digunakan untuk memecahkan jeriji besi rumah mangsa.

“Soal siasat terhadap suspek mendapati dia bekerja sebagai pemandu dan mempunyai dua rekod jenayah.

“Polis berjaya menahan rakan suspek berusia 40 tahun di Jalan Rembia, Bukit Bintang, di sini,” katanya.

Menurutnya, suspek yang mempunyai 20 rekod jenayah dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: May 20, 2017 @ 5:50am
d